Program Charity Bubur Lambuk 2.0

KLANG: Binnaem Charity meneruskan tradisi tahunan mereka apabila menganjurkan program agihan bubur lambuk sempena Ramadan dengan menyediakan tujuh periuk besar bubur lambuk di Surau Al-Ikhwan, Taman Setia, di sini hari ini.

Program gotong-royong yang bermula seawal jam 8 pagi itu melibatkan penyertaan warga kerja daripada rangkaian kumpulan termasuk Binnaem Charity, Binnaem Travel & Tours dan Junior Qaliff Childcare Centre, selain sukarelawan serta penduduk Surau Al-Ikhwan yang bersama-sama menjayakan aktiviti memasak sebelum bubur lambuk diagihkan kepada masyarakat sekitar menjelang waktu petang.

Pengasas Binnaem Charity, Mohamad Anas Naem berkata, penganjuran program tersebut merupakan tradisi yang sudah berlangsung selama lapan tahun berturut-turut sebagai usaha menyemarakkan semangat Ramadan dan merapatkan hubungan dengan komuniti setempat.

Menurutnya, program berkonsepkan gotong-royong itu bukan sekadar aktiviti menyediakan makanan untuk berbuka puasa, tetapi menjadi platform memperkukuh nilai kebersamaan antara warga kerja organisasi, rakan strategik serta masyarakat setempat.

“Melalui program seperti ini, kita bukan sahaja dapat berkongsi rezeki, malah menghidupkan kembali semangat kerjasama dalam komuniti yang menjadi antara nilai penting dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, Binnaem Charity mula digerakkan secara aktif sejak 2019 sebagai platform kebajikan komuniti yang memberi tumpuan kepada pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial termasuk bantuan kecemasan, program pendidikan serta sokongan kepada golongan asnaf.

Katanya, program bubur lambuk yang dianjurkan setiap Ramadan kini menjadi antara aktiviti tradisi organisasi itu yang menghimpunkan warga kerja syarikat, rakan strategik dan komuniti dalam suasana gotong-royong yang sederhana tetapi penuh makna.

Program yang berlangsung pada 19 Ramadan 1447H itu diharap dapat terus mengukuhkan hubungan antara organisasi dan masyarakat, selain menyemarakkan semangat kebersamaan yang menjadi inti pati bulan Ramadan.

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2026/03/1518431/tradisi-8-tahun-binnaem-charity-edar-7-periuk-bubur-lambuk-di-klang

Program Kebajikan & Sosial lain

  1. Bantuan bencana dan kecemasan (banjir, kebakaran, kemalangan, dll)
  2. Sumbangan makanan asas, barangan keperluan, dan bantuan perubatan
  3. Program ziarah kasih, bantuan anak yatim, ibu tunggal & warga emas
  4. Projek komuniti seperti gotong-royong, pembinaan rumah asnaf.